"Alami Keriangan Dunia Imaginasi Dewi Sukma"
PROMO !!! Mari adik-adik, kita tengok apa yang ada di dalam...Hati Emas...Ilham Corner...Ana Konda...Cincin Delima...PROMO !!! Biarlah Ku Sendiri...sebuah kompilasi 7 novel pendek...terbitan KarnaDya Solutions... PROMO!!! Mekar Kelopak Cinta... Aku Punya Cinta...sebuah mini-novella... terbitan Fajar Pakeer...
Kalam Hikmah ~

" Agama buat kehidupan di akhirat, harta buat kehidupan di dunia. Di dunia orang yang tidak berharta berasa susah hati, tetapi orang yang tidak beragama merasa lebih sengsara" - Saidina Abu Bakar As-Siddiq

" Jangan engkau bersahabat dengan sahabat yang mana dia begitu berharap kepada engkau ketika mahu menyelesaikan masalahnya sahaja sedangkan apabila masalah atau hajatnya telah selesai maka dia memutuskan kemanisan persahabatan. Bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai ketinggian dalam melakukan kebaikan, memenuhi janji dalam perkara yang benar, memberi pertolongan kepada engkau serta memadai dengan amanahnya atau sikap bertanggungjawabnya terhadap engkau. " - Imam Umar bin Abdul Aziz.

Showing posts with label Surat Khabar. Show all posts
Showing posts with label Surat Khabar. Show all posts

20 October 2010

Sihir

Sihir pecah belah institusi keluarga, masyarakat
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
Berita Harian 20 Okt 2010

Tiada peruntukan undang-undang untuk dakwa pihak pelaku punca aktiviti semakin berleluasa
SIHIR ataupun ilmu hitam bukan perkara yang baru dalam dunia amnya dan di Malaysia khususnya. Sihir wujud sejak zaman berzaman seperti mana kisah Nabi Musa, ahli sihir menukarkan tali temali menjadi ular untuk berlawan dengan Baginda.
.
Walaupun kita berada pada zaman moden dan menuju era globalisasi, amalan sihir masih diamalkan sesetengah pihak yang ingin memuaskan hawa nafsu tanpa memikirkan kesannya terhadap akidah diri dan orang yang disihirkan, asalkan tujuan pihak yang menyihir tercapai.
.
Ahli sihir biasanya melakukan apa saja yang diminta pelanggan bagi memuaskan hati serta melunaskan dendam kesumat mereka. Asalkan bayaran diberikan lumayan, maka permintaan pelanggan tertunai.
.
Oleh itu, berlakulah perbuatan sihir yang mengakibatkan mangsa jatuh sakit secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab jelas, gila, bermusuhan, runsing yang kronik, bercerai-berai malah paling menakutkan sehingga boleh membawa maut.
.
Sihir secara langsung akan memberi kesan kepada akidah pengamalnya kerana amalan sihir berkait rapat dengan pemujaan syaitan. Maksud sihir seperti mana ditafsirkan oleh Al-Laits, adalah perbuatan yang dapat mendekatkan diri kepada syaitan dengan bantuannya.
.
Firman Allah yang bermaksud: “Akan tetapi syaitan itulah yang kufur, mereka mengajar kepada manusia ilmu sihir.” (Surah al-Baqarah, ayat 102) Jelas di sini amalan sihir sememangnya berkait rapat dengan syaitan sekali gus memesongkan akidah pengamalnya dan berlaku syirik terhadap Allah.
.
Melihat situasi sihir di negara ini, sedar atau tidak amalan itu sememangnya wujud. Walaupun sering kali kita dengar orang yang disihir atau terkena ‘buatan orang’, tetapi tidak ada tindakan boleh dikenakan terhadap yang menyihir selain mengubati orang disihir itu.
.
Ada kala kita mengetahui orang yang menyebabkan sihir tetapi tiada sebarang peruntukan undang-undang untuk mendakwa orang yang menyihir dan ini menyebabkan ketidakadilan serta penganiayaan terhadap orang yang kena sihir, kerana yang menyihir terlepas begitu saja.
.
Selain kesan sihir daripada sudut akidah, amalan sihir turut memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan yang akan menyebabkan perpecahan keluarga. Kesan atau pengaruh sihir boleh dilihat dalam kes Mustafa Batcha lawan Habeeba Abd Rahman (1990). Perayu dalam kes itu telah melafazkan talak sebanyak tiga kali. Perayu pada ketika itu mendakwa bahawa dia tidak berniat menceraikan isterinya tetapi melafazkan talak di bawah pengaruh sihir.
.
Perayu kemudian mendakwa selepas pergi ke kantin sebuah kilang, fikirannya tidak tenteram. Perayu menyatakan dia selalu bergaduh dan sering memarahi serta memukul isterinya tanpa dia sendiri menyedarinya.
.
Dalam keadaan tidak sedar, perayu bertindak membuat aduan kepada pihak berkenaan untuk menceraikan isterinya. Pada masa sama, perayu mendapati bungkusan kain putih di dalam kantin itu dan berusaha berubat secara tradisional berjumpa seorang dukun. Menurut dukun, perayu telah disihir kerana berjaya mendapatkan tender kantin itu.
.
Semasa perbicaraan di Mahkamah Rendah, hakim memutuskan jatuh talak tiga terhadap isterinya berdasarkan ikrar yang dibuat perayu tanpa memanggil saksi dan melihat pada keterangan lain. Perayu kemudian merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah dan memutuskan talak itu dikira sebagai talak satu kerana semasa perayu melafazkan ikrar, beliau dikatakan di bawah pengaruh sihir.
.
Oleh itu, ikrar tadi berkait perkara lain sedangkan ikrar hendaklah dipastikan tidak berkait perkara lain. Selain itu, hakim Mahkamah Rendah juga tidak menyiasat dakwaan perayu bahawa semasa melafazkan talak, dia berada di bawah pengaruh sihir.
.
Di sini, dapat dilihat kesan sihir boleh menyebabkan perpecahan sehingga membawa kepada perceraian terhadap orang yang tidak bersalah. Jika amalan sihir tidak dikekang, dikhuatiri kesan itu akan merebak dan berlarutan tanpa diketahui penghujungnya. Bagi mengatasi masalah ini, cadangan penggubalan undang-undang bagi mengheret pengamal sihir serta pengupahnya ke muka pengadilan adalah relevan.
.
Kewujudan undang-undang sekali gus mengekang pengamalannya secara sewenang-wenangnya tanpa sebarang sekatan. Walaupun dikatakan pembuktian mungkin sukar kerana sihir adalah bersifat spiritual dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar, namun penghuraian setiap kategori sihir perlu dilaksanakan secara profesional dan metodologi pembuktian perlu mengikut kaedah diiktiraf syariah dan sains.
.
Selain itu, kita perlu melihat kesan sihir terhadap pesakit dengan kehadiran pakar dalam rawatan sihir atau perawat yang merawat mangsa sihir. Mereka ini akan memberi keterangan pakar seperti terkandung dalam undang-undang keterangan. Jadi, tidak mustahil dakwaan dapat dibuktikan.
.
Pada masa sama, penubuhan satu institusi atau badan dianggotai pakar perubatan daripada bidang sihir diperlukan. Badan itu akan menjadi tempat rujukan mengenai perkara sihir seperti benar atau tidak jika ada pendakwaan sihir dilakukan.
.
Bagaimana peruntukan undang-undang berkenaan sihir ingin diwujudkan, apa hukuman jika sabit kesalahan dan siapa boleh memperakui seseorang itu pakar? Penelitian dan perbincangan bersama pihak berkaitan seperti pengamal undang-undang, ahli agama dan pakar berkaitan diperlukan. Kewujudan peruntukan jenayah sihir perlu bagi mengekang pengamalan sekali gus menjaga akidah dan membuka mata masyarakat bahawa pengamalan sihir salah satu kesalahan jenayah dalam Islam dan pelakunya tidak boleh terlepas begitu saja.
.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

31 May 2010

Cubaan Menggagalkan Misi Aktivis ke Gaza

Salam. Hari ni, dunia dikejutkan dengan serangan zalim komando Israel terhadap kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza. Dilaporkan 15 aktivis terbunuh dan ramal lagi yang cedera. Malah, misi ini turut disertai beberapa orang rakyat Malaysia. Marilah kita semua doakan keselamatan para aktivis ini!

Untuk maklumat seterusnya, bacalah berita yang diselitkan di bawah ini...

Nasib dua wakil Astro Awani belum diketahui selepas serangan komando Israel
2010/05/31

KUALA LUMPUR: Seorang wartawan dan seorang jurukamera stesen televisyen Astro Awani dalam kapal Turki "Mavi Marmara" yang diserang tentera Israel pagi ini dalam misi bantuan ke Gaza, belum diketahui.
Seorang pegawai stesen televisyen itu berkata mereka cuba menghubungi wartawan Ashwad Ismail, 25, dan jurukamera Shamsul Kamal Latip, 38, sejak 11 pagi tadi tetapi tidak berjaya.
"Kami sedang cuba mendapat maklumat mengenai keadaan mereka melalui pelbagai cara," katanya ketika dihubungi.
Kali terakhir kedua-duanya menghubungi stesen televisyen itu ialah pada 7.45 malam tadi ketika kapal itu sedang berada dekat Gaza manakala rakaman gambar kapal berkenaan diterima di sini awal pagi ini.
Enam lagi rakyat Malaysia yang berada dalam satu lagi kapal, "Rachel Corrie" yang juga dalam misi serupa, dilaporkan selamat.
Mereka terdiri tiga wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria serta wartawan Halim Mohamed dan jurukamera Mohd Jufri Judin, kedua-dua daripada TV3.
Menurut laporan Al-Jazeera, seramai 15 aktivis terbunuh dan ramai yang cedera apabila komando Israel menyerang kapal Turki itu yang mendahului beberapa kapal lain dalam misi menghantar 5,000 tan bahan binaan, bekalan sekolah dan peralatan perubatan ke Semenanjung Gaza.
Dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada PGPO, Shamsul berkata mereka berada 1,600 kilometer dari Gaza.
"Rancangan sekarang ialah untuk meneruskan perjalanan dan berpatah balik jika ada amaran daripada tentera Israel," katanya. - Bernama

10 February 2010

Hambatan Industri Buku

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Penerbit perlu lebih kreatif dan berani dalam mempelbagaikan genre

KEMELUT industri penerbitan buku di Malaysia diyakini berada pada tahap membimbangkan bukan saja kerana tiadanya keseimbangan dalam penerbitan bahan bacaan, tetapi juga persaingan daripada penerbitan maya sehingga meletakkan sektor terbabit jauh ketinggalan berbanding negara maju.

Pengerusi Majlis Industri Buku Negara, Law King Hui, berkata krisis penerbitan buku di Malaysia berpunca daripada bahan bacaan yang tidak seimbang, kos penerbitan semakin meningkat, persaingan dengan e-buku dan tabiat membaca rakyat negara ini yang masih rendah.

“Isu profesionalisme turut menjadi antara persoalan dalam industri penerbitan di negara ini, manakala kehadiran internet atau e-buku yang memudahkan medan pembacaan masyarakat seluruh dunia, turut memberi kesan kepada industri penerbitan buku negara, walaupun kesannya masih belum ketara," katanya ketika menyampaikan Ceramah Dunia Penerbitan di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Penerbitan buku konvensional paling terpukul dengan penerbitan maya iaitu e-buku yang boleh dibaca secara percuma, mudah dilayari pada setiap masa berbanding bahan bercetak yang membabitkan kos tinggi dan memerlukan pembacanya membelinya sebelum dapat menggali kandungannya.

"Kekangan ini menjadikan bahan bacaan maya lebih popular dan interaktif berbanding buku, meskipun kualiti buku konvensional lebih terjamin berbanding e-buku. Bagaimanapun, buku masih relevan dan menyumbang dalam memperkasakan minda masyarakat sejak ribuan tahun dulu,” ujarnya.

Tanpa menafikan buku masih dianggap sebagai aset utama bagi sesetengah pihak, realiti penerbitan buku negara masih belum seimbang kerana meskipun jumlah penduduk ramai, ia tetap belum dapat menampung keperluan pembacaan di kalangan rakyat.

"Statistik Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 2008 mendapati hanya 12,949 buku diterbitkan melalui sektor swasta, manakala 3,095 sektor kerajaan, sedangkan jumlah penduduk di negara ini sudah pun mencecah 27 juta orang," katanya.

Bagi menampung keperluan rakyat seramai itu, 27,000 judul buku dalam pelbagai genre dan bahasa sebenarnya perlu diterbitkan bagi menampung keperluan membaca masyarakat selaras dengan status Malaysia sebagai negara maju sekali gus meningkatkan kembali industri penerbitan di negara ini.

“Bagi mengatasi masalah ini, sektor swasta memainkan sumbangan penting untuk meningkatkan bahan bacaan pelbagai genre untuk bacaan umum, berbanding sektor kerajaan yang lebih tertumpu kepada buku teks dan buku berorientasikan peperiksaan,” katanya.

Beliau menegaskan, pada saat industri penerbitan menghadapi kemelut yang berpanjangan dan ketika pasaran dan permintaan tidak menentu, syarikat penerbitan perlu bersikap lebih kreatif dalam soal pemasaran buku selain mengkaji risiko yang bakal dihadapi dalam menerbitkan sesebuah buku.

Pelajar Jabatan Pengajian Media, UM, Fairuz Shuib, berkata kebanyakan syarikat penerbitan tempatan mengehadkan jumlah cetakan buku kerana tidak mahu berlaku lambakan terbitan buku mereka di pasaran, lantaran rakyat Malaysia tidak mencintai buku.

“Industri penerbitan negara memerlukan penerbit yang berani mengambil risiko menerbitkan buku pelbagai genre bagi memberi kelainan kepada jiwa pembaca yang dahagakan pembaharuan. Penerbit buku di Barat sentiasa membawa pembaharuan dan penerbit buku negara ini perlu mencontohi mereka,” katanya.

Komen DS:
1. Satu lagi diskusi yang memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia yang masih tidak minat membaca. (1 orang=1 buku=1 hari)
2. Buat penulis , ia bagaikan satu suntikan semangat untuk terus berkarya. (Tak cukup tidur pun sanggup!)
3. Pihak penerbit perlu bersedia dengan modal yang lebih besar untuk meraih sebuah karya yang bagus. (Perasan pulak tu!)

18 November 2009

Siber vs Konvensional

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Faktor mudah dicapai dan kuasa penentu di tangan editor bukan penghalang
KARYA sastera siber sering diperlekehkan kerana keupayaannya diterobosi sesiapa saja yang berminat untuk berkreativiti di dunia maya, ekoran ketiadaan proses saringan formal seperti yang berlaku terhadap karya sastera konvensional, sebelum berpeluang dibaca khalayak.
Jika dulu pengarang kreatif terpaksa bergantung sepenuh kepada media arus perdana yang menyediakan ruangan Sastera seperti di Berita Harian, Utusan Malaysia, Dewan Sastera dan Dewan Budaya, tetapi kini mereka dengan mudah melihat cerpen dan puisi dapat dikongsi dengan pembaca, antaranya melalui di eSastera.com, tokeikedai.com dan baca.com.
Sama ada suka atau tidak, mutu sastera siber sentiasa dipertikaikan kerana proses penerbitannya mudah dan cepat akibat ketiadaan tapisan editor seperti laman konvensional, tanpa menafikan ia menjadi saluran pilihan bagi mengembangkan bakat kepada yang berminat serta bersungguh hati dalam dunia penulisan kreatif.
Hakikat bahawa hayat sesebuah laman maya sastera, biasanya bersifat sementara dan tidak tahan lama kerana pelawat atau pembaca hanya berkunjung ke sesebuah laman web sekiranya ada sesuatu yang terkini, lalu sekiranya faktor ini kurang diberi perhatian, maka hayat laman sesawang itu tidak akan ke mana juga.
Sungguhpun demikian, perkembangan sastera siber tidak mampu disekat akibat tolakan teknologi dalam era teknologi maklumat dan komunikasi memaksa ia diterima secara rela atau terpaksa kerana ia tidak mungkin dapat disekat sama sekali, jika pun ada pihak yang terus memandang sebagai karya kelas kedua.
Profesor Fakulti Kejuruteraan, Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaya (UM), Dr (Ir) Wan Abu Bakar Wan Abas, berkata budaya membaca maklumat melalui internet yang kini menjadi gaya hidup masyarakat antarabangsa mendorong perkembangan sastera siber.
“Penerimaan masyarakat terhadap sastera siber menunjukkan perkembangan positif yang memberi nilai sastera siber setaraf dengan sastera konvensional, walaupun masih ada yang mempersoalkan mutu karya siber, apatah lagi ia didominasi golongan muda,” kata pengasas eSastera.com dan lebih dikenali sebagai Irwan.
Beliau melihat sastera siber yang mula menjadi kegilaan golongan muda bukan sekadar wadah menyampaikan isu semasa, bahkan membuka peluang kepada semua lapisan masyarakat menonjolkan bakat mereka tanpa sempadan, meskipun ada kalanya sastera siber dianggap membosankan.
“Persoalan mutu karya tidak sewajarnya timbul kerana setiap karya tidak kira siber atau konvensional, ada kekurangan dan kelebihan masing-masing. Bagaimanapun sastera siber ada kelebihan kerana ia bersifat interaktif dan boleh menghubungkan penulis tempatan dan antarabangsa secara langsung bagi berkongsi idea dan kritikan,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Prof Wan Abu Bakar mengingatkan masyarakat bahawa bidang sastera penting dalam menentukan tinggi rendah sesuatu bangsa dan keraguan terhadap mutu sastera siber sewajarnya diketepikan kerana beliau percaya sastera siber mampu melonjakkan sastera dan bahasa Melayu lebih ke hadapan.
Pensyarah Kesusasteraan Melayu Moden, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia, Dr Nik Rafidah Muhamad Affendi, pula menganggap mutu sesebuah karya bukan ditentukan sama ada ia ditulis di komputer atau di atas kertas, tetapi dipengaruhi kebijaksanaan penulis dalam mengungkapkan pemikiran secara kreatif.
“Memang ada yang melihat sastera siber sebagai karya kelas kedua kerana ia lebih bebas dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat sehingga menjejaskan kualitinya, tetapi situasi ini juga kadangkala berlaku pada karya media arus perdana.
“Sekiranya dilihat daripada satu sudut, tidak dapat dinafikan kebebasan berkarya dalam sastera siber lebih luas berbanding konvensional kerana tidak melalui pelbagai tapisan, tetapi serentak itu perlu diingat karya yang memenangi Hadiah eSastera.com turut melalui proses pemilihan teliti oleh pakar dalam bidang ini,” jelasnya.
Bagi meningkatkan keyakinan pembaca terhadap mutu sastera siber, beliau menyarankan penulis sastera siber agar berusaha meneroka jsu kontemporari yang relevan, sesuai dengan situasi semasa selain memberi perhatian kepada seni bahasa, isi karya dan menawarkan kreativiti menarik agar lebih sistematik.
“Pengarang perlu memberi perhatian mendalam terhadap aspek kreativiti kerana sekiranya ini wujud dalam sastera siber, maka tiada sebab mengapa karya sastera siber dianggap tidak bermutu. Hakikatnya, tanggapan karya siber sebagai kelas kedua hanya tafsiran semata-mata kerana ia boleh berubah dari semasa ke semasa,” katanya.