Buletin KarnaDya
Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua. Apa khabar? Semoga anda berada di dalam keadaan sihat sentiasa. Hmm… apa khabar ya KarnaDya?
Kami masih bersedia untuk menerima sebarang novel pendek sekiranya anda berminat untuk menghantar. Untuk pengetahuan anda, kami sudah menerima beberapa karya nopen yang baik untuk dibukukan. Nopen yang terpilih akan dimaklumkan kepada penulisnya tidak beberapa lama lagi. InsyaAllah, nopen yang terpilih akan dibukukan bersama-sama karya nopen daripada dua penulis terkemuka tanahair, Mimie Afinie dan Bikash Nur Idris.
Beberapa bulan yang lepas, beberapa penulis yang terpilih telah dihubungi untuk menyertai projek ini. Sambutan yang sangat baik telah diberikan. Kami telah memberikan taklimat kepada beberapa penulis yang telah datang berjumpa kami. Untuk fasa pertama, seramai 4 orang penulis telah dipilih. Setiap fasa selepas ini akan melibatkan 3-4 orang penulis.
Pada bulan Februari yang lalu, KarnaDya telah menerbitkan dua lagi novel awal remaja yang bertajuk Pengembaraan Fantasi: Sumpahan Gua Hantu dan Ninja Kunaharo: Misteri Wira Malam. InsyaAllah untuk bulan Mac nanti, dua lagi novel awal remaja akan menemui anda, Janji Seorang Sahabat dan Terowong Digital.
Mimie Afinie kembali lagi dengan novel terbarunya “Tinggallah Pujaan”, sebuah novel romantik yang disulami dengan adegan-adegan lucu dan menyayat hati. Akan datang: Laman web Tinggallah Pujaan http://www.karnadya.com.my/tinggallahpujaan/.
Novel-novel keluaran kami boleh didapati di cawangan-cawangan MPH dan Popular yang terpilih, dan juga kedai-kedai buku di serata Semenanjung Malaysia. Kami telah mendapatkan pengedar-pengedar buku untuk kawasan Timur, Utara dan Selatan Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak, Singapura dan juga Brunei.
Namun, kami akui masih ada lagi kedai-kedai buku yang tidak mempunyai buku kami.
Terdapat beberapa sebab;
1. Kedai buku tersebut tidak termasuk di dalam senarai pengedar.
2. Kedai buku mempunyai rekod pembayaran yang tidak baik dan disenarai hitamkan oleh pengedar.
3. Stok telah habis dan tiada penghantaran semula oleh pengedar.
Kami akan cuba untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul, namun, anda juga boleh membantu kami dengan memberikan nama dan alamat kedai yang tidak mempunyai buku-buku KarnaDya. Nama kawasan kedai juga sudah memadai. Anda juga boleh membantu kami dengan membuat permintaan terhadap kedai-kedai buku. Sokongan anda amatlah kami hargai!
Pesta Buku 2007
Sejak kebelakangan ini, staff KarnaDya sibuk membuat persediaan untuk Pesta Buku 2007. Jangan lupa untuk menanda kalendar anda pada tarikh 27 April – 6 Mei. Datanglah beramai-ramai untuk bersama penulis dan mendapatkan buku-buku yang diterbitkan khas semasa pesta buku. Pelbagai aktiviti menarik telah kami susun. Kami juga ada menerima idea-idea menarik daripada peminat-peminat KarnaDya. Sekiranya anda juga mempunyai idea aktiviti yang menarik, sila membuat cadangan di web@karnadya.com.my.
Forum KarnaDya
Kepada ahli-ahli yang baru mendaftar, sila ke forum kami di forum.karnadya.com.my untuk mengenalkan diri dan berbual bersama ahli-ahli karnadya yang lain!























No comments:
Post a Comment