Selamat Hari Guru!

Guru diibaratkan seperti lilin yang membakar diri untuk menyuluh alam yang gelita... izinkan saya menyampaikan sebuah kisah ringkas yang terselit di dalam lipatan memori...
Semasa di tingkatan satu dahulu, saya ada seorang guru lelaki yang sungguh baik hati. Sudahlah begitu, wajahnya juga kacak serta memiliki penampilan yang menarik. Namanya, Cikgu Fauzi dan beliau mengajar subjek Bahasa Melayu.
Kiranya, beliaulah yang bertanggungjawab mencambah minat saya di dalam bidang penulisan ini. Beliau menggalakkan saya membaca seberapa banyak buku dan acapkali saya mendapat hadiah kerana berjaya memenuhkan buku log saya.
Ramai rakan-rakan sekelas cemburu dengan kejayaan saya itu. Malah saya turut mendapat perhatian yang istimewa sehingga dilantik sebagai pengawas sekolah dan berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
Namun demikian, tidak sampai setahun mengajar di sekolah itu, beliau diarahkan berpindah ke sekolah di daerah lain. Tanpa disengajakan, kami bertemu kali terakhir di pekan. Beliau memberikan kata-kata perangsang dan nasihat kepada saya untuk berjaya di dalam pelajaran.
Sekiranya Cikgu Fauzi membaca sketsa ini, saya ingin sekali mengucapkan jutaan terima kasih di atas segala jasa beliau dan... Selamat Hari Guru!
Nota: Ucapan juga istimewa untuk Cikgu CT dan Cikgu Tanne yang kini sedang mengajar di Kuala Kangsar, Perak. Syabas! Kerjaya ini bukanlah satu kerjaya yang mudah dan memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Semoga anda berdua tabah di dalam mendidik anak-anak warisan bangsa!























No comments:
Post a Comment