Selamat Pengantin Baru, Nina & Najib!
Kelmarin, saya menghadiri majlis perkahwinan bekas teman sepejabat, Nina. Dia sudah bertugas di sebuah syarikat yang lain. Akan tetapi hubungan kami masih baik dan saling berutusan khabar melalui emel.
WoW.. semuanya serba ungu, baik pengantin, emak, adik-beradik semua sedondon cuma ayahnya (Dato') saja yang mengenakan baju berwarna biru. Sultan dan Sultanah Johor juga turut mencemar duli mengunjungi dan menepung tawar mempelai.
Majlisnya berkonsepkan santai, maknanya para tetamu bebas menikmati apa saja juadah yang disediakan mengikut gerai masing-masing. Menu utama sudah tentulah nasi beriani berserta lauk-pauknya. Diikuti mi rebus dan roti canai. Minuman pula terdiri daripada air panas, cendol, air anggur, sarsi dan oren. Ada juga kerepek dan juadah pemanis mulut seperti lengkong dan buah-buahan.
Apa yang menarik ialah dia berkenalan dengan suaminya, Najib melalui seorang kawan saya yang bekerja di sini. (Kiranya, macam match-makerlah!) Selepas berjaya, kami pun tak habis-habis mengusik dia dengan harapan terbukalah hatinya untuk menerima Najib memandangkan usianya sudah pun di hujung 20an.
Orang kata, kalau sudah jodoh.. tak ke mana perginya! Ikan di laut, asam di darat, dalam kuali.. bertemu juga!
Err.. kami pun tak sangka, rupa-rupanya di dalam masa yang singkat, mereka sudah sepakat untuk hidup bersama!
Alhamdulillah! Semoga Nina & Najib hidup bahagia di dalam melayari bahtera perkahwinan sehingga melahirkan generasi yang berilmu dan beriman, insya-Allah, amiiin!























No comments:
Post a Comment