Aidil Fitri: Kenangan Lalu
Semasa saya masih kecil, hari raya adalah hari yang paling mengujakan. Lebih-lebih lagi jika ia jatuh pada musim cuti sekolah! Manakan tidak, hanya setahun sekali kami dapat berjumpa dengan datuk, nenek, pak dan mak menakan serta sepupu sepapat dari kedua-dua buah keluarga. Abah pasti memohon cuti panjang dari majikannya kerana kami sekeluarga akan balik ke kampung yang terletak jauh di utara sana.
Kampung abah di Juru, Bukit Mertajam manakala kampung emak di Semanggol, Taiping. Ketika itu, pengangkutan yang paling popular sudah tentulah keretapi. Ada 2 pilihan, samada Senandung Malam atau Ekspress Rakyat. Jika abah lambat mendapat tiket Ekspress Rakyat, kami sekeluarga terpaksalah memilih Senandung Malam yang akan berhenti kira-kira 10 minit di setiap perhentian. Jenuh jugaklah kerana perjalanan dari selatan ke utara memakan masa selama 12 jam! Itupun, kami terpaksa menukar keretapi Senandung Malam kepada Sinaran Pagi di Stesyen Keretapi Kuala Lumpur pula.
Ada kenangan pahit manis ketika itu kerana kami sekeluarga terpaksa berrebut-rebut mencari bangku kosong. Jika kurang bernasib baik, kami hanya duduk beralaskan beg pakaian saja di ruang tangga. Err.. memang bercinta jika difikir-fikirkan! Ada juga penumpang yang sanggup masuk ke dalam gerabak melalui tingkap.. hisy, semuanya hari raya punya pasal!
Leganya hati apabila sudah tiba di Stesyen Taiping, Tok Wan akan datang menjemput dengan kereta sewa. Sebaliknya, jika turun di Stesyen Bukit Mertajam, kami akan menaiki prebet sapu atau bas sambung-sambung untuk masuk ke dalam kawasan perkampungan Juru.
Tahun berganti tahun, abah membeli sebuah kereta Proton sedan berwarna kuning perawan didaftarkan di atas nama saya kerana abah agak gugup dan tidak yakin memandu. Hmm.. buat pertama kalinya, kami pulang beraya ke kampung dengan penuh bergaya!
Meskipun penat, kami puas sangat kerana perjalanan sudah lebih singkat apatah lagi dengan adanya kemudahan lebuhraya bertol.. congak-congak dalam sekitar RM 400.00 juga duit perbelanjaan untuk tol dan minyak tu!























No comments:
Post a Comment