Kisah Dia
Tiba-tiba hari ini saya teringat semula kepada seorang budak berusia 13 tahun. Namanya, Amirul. Seorang anak tunggal dari ayah dan ibu yang sudahpun memilih haluan masing-masing.
Saya kenal sangat dengan ayah Amirul kerana kami pernah berkerja bersama-sama ketika kami masih bujang. Dia seorang lelaki yang baik, peramah, rajin, taat kepada orang tua dan Tuhan. Kiranya, saya juga terpikat kepada peribadinya itu. Hubungan kami baik dan sungguh mesra malah saya pernah menjemputnya datang makan tengahari di rumah saya. Selalu juga saya bertandang ke rumah besarnya di daerah berhampiran terutamanya jika tiba musim buah-buahan. Semua keluarganya baik-baik belaka. Dia mempunyai empat orang adik-beradik, kakak dan dua adik perempuan. Emaknya (arwah) seorang pengusaha kilang sos kecil yang beroperasi di belakang rumahnya saja. Ayahnya(bersara), cikgu besar di sebuah sekolah agama.
Ada satu saja perangainya yang buat saya terkilan sungguh. EGO. Dia cukup suka berbangga diri terutama jika mengenai soal pasangan hidup. Macam-macamlah kriteria yang telah diletakkan untuk calon isterinya nanti. Semuanya mesti perfect dan terbaik! Kami terus bersahabat meskipun ketika itu dia sudahpun mengikat tali pertunangan. Saya juga sedar, diri saya ni memang tidak layak dan tidak sesuai langsung! Orang kata, jauh panggang dari api.
Tidak lama kemudian, dia mendirikan rumahtangga, bahagia, dikurniakan zuriat, lelaki, Amirul. Dan bermulalah sebuah episod duka di dalam kehidupan mereka suami isteri. Sekelip mata dia berubah. Semua yang baik-baik kini musnah. Dia dan isterinya sering bertelagah tanpa sebab yang munasabah.
Saya sedih, tentu dia masih tetap dengan sikapnya iaitu EGO. Isterinya yang tidak tahan lantas membawa diri bersama Amirul sekali. Sedikit pun dia tidak kisah hendak memujuk malah seringkali menyalahkan isterinya. Dia kata, isterinya nusyuz dan tidak hormat kepadanya lagi. Siapa yang tidak tahan jika suaminya sering pulang lewat dan ada khabar-khabar angin yang mengatakan suaminya ada hubungan dengan perempuan lain?!
Jika saya berada di tempat isterinya itu, mungkin saya akan bersabar dan cuba mencari jalan terbaik untuk menyelamatkan mahligai kami. Saya juga akan berfikir berribu-ribu kali demi kebahagiaan anak, kurniaan ILLAHI!
Dalam diam, Amirul menderita. Dia kehausan kasih sayang dari seorang ayah. Ibu? Entahlah.. mungkinkah ibunya sering menjadikan dia sebagai tempat untuk melepaskan perasaan sehingga Amirul sering dilihat jiran tetangga gemar menghabiskan masa sendirian. Amirul dilabel sebagai budak pelik walhal dia lahir di dalam keadaan normal dan sihat tubuh badannya?
Satu hari dia dijumpai oleh seorang pak cik di bawah pokok berdekatan tebing sungai, seorang diri. Di dalam hujan renyai-renyai. Pak cik menegurnya. Dia buat tak endah saja. Ganjil sungguh kelakuannya kerana dia enggan mendengar nasihat lalu nekad berlari ke arah sungai yang dalam.
Kini.. hampir seminggu Amirul pergi mengadap Yang Satu. Ya, hanya di situlah tempat terbaik untuk rohnya berkelana.. bersemadi.. mendakap kasih sayang abadi!
Buat dia, semoga tabah menerima ketentuan Illahi dan jadikanlah kehilangan Amirul ini sebagai satu iktibar. Cerminlah diri kembali dan jika boleh, buang terus sikap EGO itu dari dirimu..























No comments:
Post a Comment