"Alami Keriangan Dunia Imaginasi Dewi Sukma"
PROMO !!! Mari adik-adik, kita tengok apa yang ada di dalam...Hati Emas...Ilham Corner...Ana Konda...Cincin Delima...PROMO !!! Biarlah Ku Sendiri...sebuah kompilasi 7 novel pendek...terbitan KarnaDya Solutions... PROMO!!! Mekar Kelopak Cinta... Aku Punya Cinta...sebuah mini-novella... terbitan Fajar Pakeer...
Kalam Hikmah ~

" Agama buat kehidupan di akhirat, harta buat kehidupan di dunia. Di dunia orang yang tidak berharta berasa susah hati, tetapi orang yang tidak beragama merasa lebih sengsara" - Saidina Abu Bakar As-Siddiq

" Jangan engkau bersahabat dengan sahabat yang mana dia begitu berharap kepada engkau ketika mahu menyelesaikan masalahnya sahaja sedangkan apabila masalah atau hajatnya telah selesai maka dia memutuskan kemanisan persahabatan. Bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai ketinggian dalam melakukan kebaikan, memenuhi janji dalam perkara yang benar, memberi pertolongan kepada engkau serta memadai dengan amanahnya atau sikap bertanggungjawabnya terhadap engkau. " - Imam Umar bin Abdul Aziz.

14 August 2010

Lea & Bell 1

BELL melangkah longlai masuk ke ruang dapur sebaik sahaja usai mendirikan solat Isyak. Seluruh anggota tubuhnya terasa tidak bermaya akibat keletihan. Ingin sahaja dia merebahkan dirinya di tilam empuk sebaik sahaja bersolat tadi. Namun, panggilan perut perlu diutamakan dahulu daripada panggilan mata.
Dua orang adik bersama emaknya sedang sibuk menyiapkan hidangan di atas meja. Set pinggan putih dari jenama Arcopal bercorak bunga-bunga besar tersusun elok di hujung meja sebelah kanan.
Zaiton menoleh ke arahnya lalu melemparkan senyuman tika melihat kelibatnya di situ.
“Duduk Bell,” arahnya.
Tanpa bersuara, Bell terus duduk di atas kerusi yang terletak di kepala meja kerana di situ sudah tersedia pinggan yang berisi nasi panas. Mulutnya terkumat-kamit membaca doa makan sebelum memulakan suapan.
“Tambah lagi, Bell. Malam ni, ibu masak paling istimewa.” ucap Zaiton kepada anak bujangnya.
Sebetulnya, dia berasa senang hati apabila melihat anak-anaknya dapat berkumpul di rumah dan menikmati makan malam bersama-sama. Walaupun tidak semua. Yang ada cuma Bell, Hani dan Hana sahaja. Manakala dua orang lagi anaknya sudah memiliki keluarga sendiri.
“Hemm... patutlah luar biasa sedapnya!” puji Bell. Dari luar rumah lagi, dia sudah menyedut aroma Nasi Tomato masakan ibunya.
Si kembar, Hani dan Hana turut menikmati makan malam bersama. Mereka juga kelihatan letih seperti dirinya. Wajah masing-masing tidak bermaya. Maklum sahajalah baru pulang dari asrama. Mana sama tinggal di asrama dan di rumah sendiri!
Butir-butir nasi yang disuap ke dalam mulut terasa berpasir sahaja. Sebab itu Bell menceduk kuah dalcar banyak-banyak agar nasi itu terendam sama dengan kuah. Lebih mudah untuk dia menolak masuk makanan itu terus ke ruang halkumnya.
Bell tersenguk. Hampir-hampir mukanya berdentum ke pinggan!
“Bell!” panggil emaknya.
Bell tersentak. Dia menoleh ke sebelah kanan, mata emaknya sudah mencerlung. Hani dan Hana pula tersengih-sengih.
Memang sebiji macam kerang busuk! Bell bergumam-gumam.
Sudah menjadi rutin, setiap kali tiba musim cuti semester, Bell akan ditugaskan untuk mengambil si kembar itu yang sedang menuntut di Kolej Matrikulasi Gebeng, Kuantan. Perjalanan selama lima jam jika digandakan sudah menjadi sepuluh jam. Bell sendiri tidak sempat hendak melepaskan penat. Selepas mengambil mereka, dia terus memandu pulang.
Hari ini dia mengajak salah seorang rakan baiknya, Shauqi sebagai teman berbual agar dia tidak bosan dan juga dapat menghindarkan diri dari rasa kantuk. Bahaya tu! Nasib baiklah Shauqi agak kelapangan pada cuti hujung minggu ini. Rakan baiknya itu pasti tidak akan menolak jika diajak berjalan ke mana-mana. Bagai pucuk dicita ulam mendatang.
Sampai di Kuantan, Shauqi pasti akan mengajaknya pergi ke Beserah kerana dia hendak memborong keropok lekor segar yang baru sahaja direbus. Panas-panas lagi! Selain itu, dia turut membeli sata untuk dimakan dalam perjalanan balik.
Rakannya itu seorang penggemar makanan pantai timur sementelah dia juga sebenarnya berasal dari sana. Kedua-dua orang tuanya sudah lama meninggal dunia. Justeru, dia berhijrah ke ibu kota untuk mencari rezeki.
Bell mengenali Shauqi sewaktu mereka menjalani latihan praktikum. Walaupun belajar di berlainan kolej, mereka telah ditempatkan di bank yang sama. Selepas tamat pengajian, peluang Shauqi agak cerah kerana terus ditawarkan bekerja di bank itu sebagai pekerja sementara.
Sedangkan Bell, tidak berminat menerima tawaran yang sama kerana dia lebih suka bekerja sendiri daripada terikat dengan tugas-tugas seharian yang sama sahaja pada setiap hari. Dia tidak mahu jasad dan rohnya terperangkap di dalam situasi yang amat menjemukan. Bagaikan mengalami dejavu iaitu berulang-ulang kali melakukan perkara yang sama.
Semenjak dari umur lima belas tahun lagi, dia bercita-cita hendak menubuhkan syarikat runding caranya sendiri. Setidak-tidaknya, dia mahu mencari rakan niaga yang boleh dipercayai terlebih dahulu. Berbekalkan ijazah dan sedikit pengalaman, dia amat yakin cita-citanya akan tercapai.
Dalam masa yang sama, dia juga turut membantu ayahnya, pemilik kedai perabot jati di Bandar Baru Sungei Buloh. Kalau tidak, kering-kontanglah poketnya! Boleh jadi dia mati kutu... Kutu kepada segala kutu!
Sebetulnya, dia dah tak sanggup nak menyusahkan kedua-dua orang tuanya lagi. Cukuplah pengorbanan mereka selama membesarkannya lebih dua puluh tiga tahun yang lalu. Lagipun, dia seorang sahaja anak lelaki. Waris yang paling kuat.
Siang-siang lagi, ayah dah menamakan dia sebagai pemegang amanah kepada segala harta pusaka keluarga. Sungguhpun harta pusaka itu tidak seberapa kerana sebahagiannya masih menjadi gadaian kepada pihak bank seperti tanah dan rumah keluarga.
Bell sedar, tanggung jawabnya sungguh berat dan besar. Selain itu, dia juga mestilah sentiasa memegang prinsip amanah, jujur dan adil agar hak setiap anggota keluarganya terbela.
Bantuan Bell bukan setakat tentang perniagaan malah semua urusan kehidupan keluarga; menghantar emaknya ke pasar atau klinik jika dia tidak sihat, tolong uruskan pembayaran bil-bil utiliti untuk rumah dan kedai, ansuran lori dan kereta serta memastikan kawasan luar rumah banglo mereka sentiasa kemas dan bersih.
Begitulah sebahagian daripada rutin sehariannya. Sentiasa sibuk biarpun, masih lagi hidup membujang. Hanya dia seorang sahaja yang masih setia dan tinggal di rumah itu bersama ayah dan ibu. Kakak kembarnya sudah mempunyai keluarga sendiri.
Kak Halilah sekeluarga menetap di Melaka. Manakala Kak Halidah sekeluarga pula tinggal tidak jauh dari kawasan rumah ini iaitu di sebuah taman perumahan.
Adik kembarnya, dari tingkatan satu lagi sudah menetap di asrama penuh. Keputusan akademik mereka sentiasa cemerlang dan buktinya, mereka berdua kini tinggal di asrama kolej. Masa cuti panjang sahaja, mereka ada di rumah. Itu pun, tak lekat lama. Sekejap ke rumah Kak Halilah, sekejap ke rumah Kak Halidah.
Yang lecehnya, setiap kali adik-adiknya pulang bercuti, dia yang akan ditugaskan untuk mengambil mereka. Sementelah ayahnya sibuk menguruskan perniagaan terutama pada hari hujung minggu.
Kemudian, dia juga yang akan menghantar mereka semula apabila semester baru dibuka. Semenjak si kembar duduk berjauhan, rumah ini menjadi sunyi-sepi seperti dilanggar garuda.
“Ayah mana, bu?” Bell bertanya setelah diam agak lama disebabkan melayan perasaan sendiri. Juga terlalu ralit menikmati nasi tomato di dalam pinggannya. Dia suka sekali meratah ayam masak merah itu, hmm... sedapnya!
Bell mengangkat muka dengan sekilas. Emak dan dua orang adiknya diam sahaja sambil mengunyah makanan. Suasana di rumah itu tetap sunyi seperti biasa dan hanya meriah tatkala anak-anak saudaranya berada di situ.
“Belum balik dari masjid. Ada mesyuarat, katanya tadi.” Zaiton mahu menambah nasi tomato ke dalam pinggan Bell tapi pemuda itu melarang.
“Cukuplah bu, kalau dah kenyang sangat, Bell tak boleh tidur pulak! Dah letih sangat ni,” tolaknya. “Esok pagi, ibu panaskan balik nasi dan lauk-lauk ni, boleh dijadikan sebagai sarapan.”
Hani dan Hana saling tolak-menolak dengan menggunakan siku seperti ada sesuatu yang sedang digaduhkan. Mereka berbisik-bisik di antara satu sama lain kemudian tersengih-sengih pula.
“Kenapa dengan kamu berdua ni? Tersengih-sengih macam kerang busuk,” ujar Zaiton.
“Err... tak ada apa-apa, bu.” Cepat-cepat mereka membalas.
“Bisik-bisik macam tu mesti ada apa-apa ni?” duga Bell pula.
Hana dan Hani tersipu-sipu apabila ditegur begitu.
“Abang,” panggil Hani.
“Saya.” Bell menyahut dengan selamba kerana sudah dapat menghidu hasrat mereka berdua.
“Esok, kami nak pergi cari barang di SACC Mall.”
“Oh, okey!” balas Bell dengan spontan.
“Betul ni?” soal Hana pula seperti tidak percaya.
“Habis tu? Kepada siapa lagi Hani dan Hana nak minta tolong, kan?” tempelak Bell kemudian bersendawa. “Alhamdulillah!” lafaznya.
“Hehehe!” Mereka tergelak dengan jawapan yang spontan itu.
“Tapi... dengan satu syarat!” tambah Bell.
“Erk!” Hani dan Hana terkejut.
“Minta izin daripada ayah dan ibu dahulu. Terutama ayah sebab abang tak boleh guna kereta sesuka hati. Itu bukan kereta abang tau!”
“Alamak! Susahlah kalau macam ni... Abang! Abang tolonglah beritahu ayah,” gesa Hani. Hana mengangguk-angguk, menyokong Hani.
“Eh, dah awak orang yang nak keluar, kenapa abang pulak yang kena mengadap ayah?”
“Abang kan, baik!” Hana cuba membodek abangnya.
“Semua orang tahu... Abang kan, anak kesayangan ayah!” tambah Hani.
Zaiton menggeleng-gelengkan kepalanya, tiga beradik ini memang suka bercakap lepas. Mereka bukan pandai menyimpan rahsia. Jika ada apa-apa perkara yang berbangkit, mereka gemar membincangkan bersama-sama. Namun, jauh di sudut hatinya dia bersyukur. Kesemua anak-anaknya telah membesar dengan sihat dan berjaya dalam pelajaran.
“Tolonglah Abang Bell, kami takut!” ujar Hana dengan wajah yang cemberut.
“Pasal apa kamu nak takut?” celah emak mereka pula.
“Mereka takut kena marahlah, bu! Belajar malas, asyik main aje.” Bell menyampuk. Setelah mencuci tangan dan pinggan di singki, dia duduk semula dan meneguk segelas air suam.
“Abang, waktu belajar, kami belajarlah!” jelas Hani.
“Tengok, dah pandai menjawab!” sergah Bell.
“Bukan bang, Hani minta maaf. Hani dan Hana cuma nak beli buku dan alat tulis di SACC. Sambil-sambil itu, kami dah lama tak pergi makan di luar. Dulu-dulu, ayah selalu bawa kita semua makan-makan di luar tapi sekarang, ayah sibuk. Setiap kali balik dari asrama, kami hanya terperap di rumah.”
“Amboi, sejak dah besar ni, dah pandai komplen, ya? Cuba kamu berdua tengok Abang Bell, walaupun dia disuruh itu-ini, dia diam aje. Tak pernah nak membantah, jauh sekali nak komplen macam kamu ni!” Zaiton mula membebel-bebel. Dia kesal dengan sikap dua orang anak remajanya itu yang hanya mementingkan diri sendiri.
“Tapi ibu...” bantah Hana.
“Tak ada tapi-tapi, kamu berdua duduk dulu!” arahnya.
Hani dan Hana terpaksa duduk semula di meja makan, mendengar leteran emak mereka sehingga habis. Dan awal-awal lagi, Bell sudah mengangkat punggung untuk melarikan diri. Bukannya dia tak suka mendengar pujian emaknya itu, tapi dia malas nak dengar si kembar saling bertingkah.
Kesian ibu! Budak-budak sekarang, bukannya tahu menjaga perasaan orang yang lebih tua. Mereka hanya tahu nak berseronok sahaja, desisnya sendiri.
Bell merebahkan tubuhnya di atas kerusi malas di ruang rehat sambil menonton TV skrin leper. Sekejap aje. Beberapa detik selepas itu, TV skrin leper itu pula yang menonton dia!
***Jika ada komen sila suarakan di chat box.. Tkasih!

No comments: