Pertabalan YDP Agong ke-13
Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin secara rasminya akan memegang tampuk pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 hari ini pada upacara pertabalan yang meneruskan tradisi beraja di negara ini.
Tradisi beraja dan upacara pertabalan yang mungkin hanya dapat disaksikan sekali dalam tempoh lima tahun itu, diadakan di Balairong Seri, Istana Negara jam 10 pagi ini dan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Mengikut atur cara pentadbiran Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Jabatan Perdana Menteri, tiupan nafiri dan paluan nobat lagu ‘Raja Berangkat’ oleh Kumpulan Nobat Diraja Terengganu akan mengiringi keberangkatan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah ke Balairong Seri.
Istiadat itu akan dihadiri Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, menteri Kabinet, menteri Besar dan ketua menteri, kerabat diraja Seri Paduka, wakil negara asing serta tetamu kehormat dari dalam dan luar negara.
Atur cara istiadat akan bermula dengan barisan diraja masuk ke Balairong Seri, didahului Datuk Paduka Maharaja Lela Yang Mulia Tengku Farouk Tengku Jalil berserta panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama.
Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak yang menjadi sebahagian alat kebesaran diraja yang menjadi lambang kebesaran Kerajaan Malaysia.
Mereka akan diiringi juruiring Seri Paduka dan panglima yang membawa alat kebesaran diraja.
Tuanku Mizan, 45, akan berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong iaitu muskat bersulam emas serta berseluar panjang bersulam di kaki dengan bertengkolok ‘Dendam Tak Sudah’.
Seri Paduka akan memakai Pending Diraja, diperbuat daripada emas bertatahkan permata delima dengan lambang Kerajaan Persekutuan tertera di tengahnya, berserta tali bengkung daripada kain sakhlat bertekat benang emas berbunga.
Di pinggang Seri Paduka pula akan tersemat Keris Pendek Diraja yang hulunya diperbuat daripada mata keris lama dengan bersarung gading bertatahkan emas.
Tuanku Nur Zahirah, 33, pula akan memakai perhiasan Raja Permaisuri Agong iaitu Gendik Diraja, pakaian ulu (kepala) dan Kalung Diraja, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih bertatah berlian.
Seri Paduka berdua akan bersemayam di singgahsana yang diukir dengan motif menggabungkan ciri-ciri awan larat dari Semenanjung serta Sabah dan Sarawak bagi melahirkan identiti kebangsaan yang unggul, sepanjang upacara pertabalan itu.
Datuk Penghulu Istiadat Datuk Wan Safiain Wan Hasan yang juga Datuk Pengelola Bijaya Diraja akan
membawa masuk naskhah Al-Quran manakala Keris Kerajaan, surat perisytiharan dan watikah ikrar dibawa pegawai Istana Negara yang diketuai oleh Datuk Paduka Maharaja Lela dengan iringan paluan nobat lagu ‘Menjunjung Duli’.
Naskhah al-Quran, lambang kemuliaan Islam agama rasmi negara, akan disembahkan kepada Seri Paduka oleh Datuk Paduka Maharaja Lela.
Seri Paduka akan mengucup dan meletakkannya di atas rehal di meja sebelah kiri baginda, diikuti pembacaan surat perisytiharan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ditulis jawi di atas kulit kambing.
Datuk Paduka Maharaja Lela akan menyembahkan Keris Kerajaan atau Keris Panjang Diraja, iaitu alat kebesaran negara yang utama, tanda kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka.
Seri Paduka kemudian akan menghunus, mengucup dan menyarungkan kembali keris itu sebelum meletakkannya di meja sebelah kiri baginda di hadapan naskhah al-Quran. Ini akan diikuti dengan titah Seri Paduka melafazkan ikrar sebagai pemerintah utama negara.
Sebaik saja selesai warkah ikrar dibaca, nafiri akan ditiup dan lagu nobat ‘Raja Bertabal’ dimainkan, dan diikuti dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela yang diikuti oleh hadirin.
Tembakan meriam 21 das dan lagu ‘Negaraku’ yang dimainkan oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia menyusul selepas itu.
Abdullah akan menyembah ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan serta rakyat Malaysia dan diikuti dengan Tuanku Mizan menyampaikan titah Diraja.
Selepas itu Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abdul Rahman Mohd akan membaca doa selamat. Sebelum selesai majlis istiadat pertabalan, Datuk Paduka Maharaja Lela akan menerima balik naskhah al-Quran daripada Seri Paduka dan mengisytiharkan istiadat itu sudah disempurnakan, diikuti keberangkatan Seri Paduka berdua meninggalkan Balairong Seri.
Tiupan nafiri dan paluan nobat lagu ‘Raja Berangkat’ akan mengiringi keberangkatan Seri Paduka berdua yang didahului Datuk Paduka Maharaja Lela dan diikuti Datuk Penghulu Istiadat membawa naskhah al-Quran, panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama serta alat-alat kebesaran Diraja.
Tuanku Mizan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 oleh Raja-Raja Melayu pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja ke-208 di Istana Negara pada 3 November 2006 bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang tamat tempoh lima tahun baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada 12 Disember 2006.
Tradisi Raja Berperlembagaan simbol keutuhan negara berdaulat
HARI INI rasmilah Sultan Mizan Zainal Abidin ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 dalam satu upacara penuh istiadat dan tradisi Melayu di Istana Negara. Seperti termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan, pemilihan Sultan Mizan sebagai Ketua Negara dibuat pada 3 November lalu sebelum dimasyhurkan pada 13 Disember lalu.
Seri Paduka akan menduduki takhta selama lima tahun dalam sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan. Proses pemilihan itu bermula dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama pada 2 September 1957.
Malaysia adalah antara sebilangan kecil negara di dunia yang masih mempertahankan institusi raja. Namun sistem yang kita amalkan adalah unik dan berbeza dengan negara lain kerana pemilihan Yang di-Pertuan Agong tidak dibuat berdasarkan keturunan, sebaliknya diputuskan Majlis Raja-Raja yang dianggotai sembilan Raja atau Sultan.
Walaupun, Majlis Raja-Raja turut mempunyai anggota bukan raja, iaitu Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, mereka tidak layak menjadi Yang di-Pertuan Agong atau mengundi pada pemilihan jawatan itu.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, tidak dipilih rakyat, tetapi oleh sembilan Raja Melayu pada persidangan Majlis Raja-Raja, dan menyandang jawatan itu untuk tempoh lima tahun. Selepas genap tempoh itu, Seri Paduka hendaklah turun dari takhta dan diganti seorang raja atau sultan lain berdasarkan sistem pemilihan yang sama. Dalam sistem penggiliran ini, takhta pemerintahan adalah kekal sebaliknya raja yang memerintah bersilih ganti dan itulah keunikan dalam sistem monarki negara ini.
Raja Melayu yang layak memilih dan menduduki takhta pemerintahan Malaysia ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Selangor, Raja Perlis, Sultan Terengganu, Sultan Kedah, Sultan Kelantan, Sultan Pahang, Sultan Johor dan Sultan Perak.
Sultan Mizan, yang mencapai usia 45 tahun pada 2 Januari lalu adalah Sultan kedua dari Terengganu dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong. Nenda baginda, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin adalah Yang di-Pertuan Agong keempat dari 1965 hingga 1970. Graduan sarjana dalam bidang hubungan antarabangsa daripada US International University-Europe, London, Tuanku Mizan pernah memegang beberapa jawatan dalam perkhidmatan awam termasuk Penolong Pegawai Daerah.
Pengalaman ini membentuk jati diri Seri Paduka sebagai seorang raja yang memahami masalah dan aspirasi rakyat pada semua peringkat dan lapisan. Pada usia 19 tahun, Seri Paduka dilantik sebagai Raja Muda Terengganu sebelum dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu ke-16 pada usia 36 tahun berikutan kemangkatan ayahandanya. Seri Paduka, pertama kali dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 26 April 1999 dan kali kedua pada 12 Disember 2001.
Kini bermulalah era baru Sultan Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Sultanah Nur Zahirah sebagai Raja Permaisuri Agong. Rakyat menaruh keyakinan tinggi ke atas Seri Paduka untuk terus memberi sokongan dan nasihat kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan barisan Kabinetnya.
Semoga Malaysia terus mengecapi kecemerlangan dan kejayaan di bawah naungan Sultan Mizan. Dirgahayu Tuanku!























No comments:
Post a Comment