Kali Pertama (I)
Salam semua,
Sabtu dan Ahad saya berada di Plaza Angsana, mengadakan promosi novel-novel KarnaDya.
Duduk di sisi Aina Emir bagaikan satu mimpi kerana dahulu beliau merupakan salah seorang novelis yang amat saya sanjungi! Satu nama yang sungguh 'keramat' bak kata anak pemilik 'Badan', Cik Ika yang baik hati dan manis sekali.
Pada awalnya, saya merasa amat gabra maklumlah tiada sesiapapun yang mengenali saya melainkan anak sulung yang dijadikan teman (Aiman). Lama-kelamaan datanglah rasa seronok sementelah melihat telatah peminat-peminat Kak Aina. Masing-masing teruja dengan kemunculannya di sini.
Malahan saya turut melambai-lambai para pengunjung kedai yang kelihatan malu-malu agar dapat mampir ke ruangan kami. Tidak ketinggalan saya mengenalkan diri bersama karya sulung 'Cincin Delima'. Di samping itu, saya sebagai wakil novel-novel awal remaja menerangkan serba ringkas matlamat KarnaDya menerbitkan genre seumpamanya.
Sayang sekali, novel Shima iaitu 'Janji Seorang Sahabat' telah habis. Begitu juga novel sulung Nabil dan dLyn.
Hmm... kenangan yang paling indah adalah berjumpa dengan rakan-rakan sekerja. Sebahagiannya sudah maklum dan datang untuk memberikan sokongan. Ada pulak tu yang masih tidak tahu dan tertanya-tanya, apa yang saya buat di kedai Badan ni? Betulkah saya? Mungkin juga pelanduk dua serupa?
"Tak percaya ke?" Soal saya sebaik saja mereka sedar dan yakin saya adalah rakan sekerja mereka sendiri.
"Sudah lamakah menulis?"
"Lama juga, dari kecil-kecil lagi saya sudah pandai menulis!" Seloroh saya dan dia pun ketawa.
Selepas itu, dia membelikan novel tersebut untuk anak gadisnya yang berusia 13 tahun.
Di sini, saya ingin menyampaikan penghargaan buat Kedai Buku Badan amnya dan KarnaDya khasnya kerana sudi memberikan saya kesempatan untuk sesi pengenalan dan bertemu pengunjung kedai @ pembaca dengan lebih dekat dan mesra.
Salam perkenalan kepada para pembaca semua, moga terhibur dengan karya sulung Dewi ini dan bersama-sama mendapat manfaat daripadanya. Sebagai novelis baru, saya akui diri saya masih mentah dan bertekad untuk mempertingkatkan lagi mutu penulisan dari masa ke semasa.
Pertama sekali, saya panjatkan kesyukuran kepada Tuhan Yang Maha Esa di atas ilham yang dicernakan ini. Seterusnya buat famili, rakan-rakan seperjuangan dan ramai lagi!
"Selamat Membaca!"
KLIK! <<--- Sila klik untuk mendapatkan borang langganan dan penghantaran POS adalah percuma!























2 comments:
Tahniah DS... pengalaman yang indah terutamanya bila duduk di sebelah Kak Aina dannnnn... bila sain otograf pada buku pertama yang dibeli peminat. Buku kedua dan ke seribu dah tak rasa apa dah... yang pertama tu aje yang special kan kan kannnn... huhu...
Betul tu! Bila plak OD nk sign otograf nvl pertama? hrp2 dewi dpt nvl pertama OD + sign otograf tu ya!
Post a Comment