Agenda Balik Kampung BM & Kereta Merajuk
Salam sejahtera semua. Selamat bercuti sekolah dan selamat hari bapa!
Ada terlalu banyak perkara yang nak diceritakan tetapi DS tidak cukup masa jadi DS cuba ringkaskan. DS baru aje balik dari utara. Minggu pertama berada di Lumut, puas jugak mandi kolam. Kami tinggal di 'apartment' yang turut dilengkapi dapur. Untuk sarapan dan makan malam, DS masak sendiri. Hidangan yang ala kadar tapi mengenyangkan. Sempat juga kami ke Taiping, masuk Zoo serta bersantai di Tasik.
Kebetulan pula pada 12 Jun ada kenduri di BM, majlis kahwin sepupu sebelah abah. Selepas 'check-out', kami terus bergerak ke BM. Abah, Mak Yah, Iwan dan keluarga Ita juga bergerak dari Sg. Buloh. Kami semua tiga kereta berkumpul di situ dan bertemu saudara-mara dari sebelah arwah mak yang turut diundang ke majlis itu.
Dari situ ke Sg.Bakap (masih di BM) sebab Mak Ndak Shidah jemput singgah ke rumahnya. Selepas berehat 1-2 jam, kami terus bergerak pulang ke Sg.Buloh (demam bola dah bermula). Malang sekali kereta kami meragam ketika turun ke Jelapang dari terowong. Mujurlah semuanya selamat, sebab di kawasan itu dah banyak berlaku kemalangan. Dalam hati dah terdetik, kereta ni penat agaknya, dipaksa bekerja tanpa rehat secukupnya. Tak pun merajuk sebab kami ada ura-ura nak tukar kereta lain.. hai entahlah!
Ada seorang pomen datang membantu, menurutnya ada kerosakkan enjin dan kereta kami terpaksa ditunda ke bengkel berhampiran dengan bayaran RM50.00. Di bengkel, pomen beritahu barang yang perlu ditukar tu berharga RM500 campur kos jadi RM800! Terkejut sungguh namun memikirkan hari dah gelap dan anak-anak termasuk orang tua kami dah keletihan, terpaksalah teruskan. Hampir 12 malam baru siap dan tiba Sg.Buloh dekat 3 pagi. Dalam mengantuk, kami bergilir-gilir memandu.
Ingatkan dah ok, tup-tup hari Selasa rosak sekali lagi. Enjin mati dan puas DS usik2 wayar tapi tetap tak nak hidup! Berlaku di P.Gudang pulak tu betul-betul di persimpangan lampu isyarat. DS baru balik berkursus di Sg.Layang. Malang sekali tiada sesiapa pun nak bagi bantuan jadi DS terkial-kial seorang diri, sekejap ke depan, sekejap ke dalam.. tengok apa yang tak betul. Akhirnya, terus telefon RA.
DS tak lupa juga berdoa kepada Allah SWT agar diringankan masalah. Bila cuba pulas kunci, enjin hidup kembali. Syukur alhamdulillah! Tapi beberapa meter ke depan, mati lagi tapi kali ni taklah malu sangat seperti tadi. Bayangkanlah berada di tempat yang betul2 sibuk, kenderaan datang dari 4 arah. Semua nak bergerak cepat.
DS dan kereta tersadailah di tepi jalan untuk setengah jam. RA tiba tapi dia juga tak dapat buat apa-apa lantas hubungi pomen di pusat servis. Pomen itu datang setengah jam kemudian dengan peralatan yang lengkap. Setelah buat 'scan' enjin, dia kata ada kerosakkan di salah satu 'sensor'. Harganya dalam RM180 dan kereta perlu ditarik. Dia syor kepada kami agar gunakan perkhidmatan 'on-tow' pihak syarikat insurans.. FOC. Jika khidmat luar, mahu2 RM120!
Lebih kurang 1 jam, 'on-tow' tiba dan terus kereta itu ditarik ke pusat servis. Caj yang dikenakan cuma RM200.. sedangkan kami telah berhabisan untuk barang alat ganti yang bukan sepatutnya dengan harga yang melambung berganda-ganda.. huu huu!























No comments:
Post a Comment